Saturday 4 August 2012

Transformasi Diri #1



Siapa yang tidak ingin menjadi baik ? 
Siapa yang tidak ingin mendekatkan diri kepada ALLAH ?
Siapa yang tidak ingin menambahkan amalam-amalannya ? 

Jika soalan tersebut diajukan kepada penagih dadah sekalipun , saya pasti jawapannya adalah YA !

Tetapi , apakah usaha kita ? 
Hanya duduk diam sahaja dan terus-menerus berangan ataupun siap siaga bangkit dan berusaha ? 

Untuk mencapai sesuatu kita perlukan usaha . Sama juga jika kita ingin berubah , kita perlu berusaha . Tanpa usaha , sesuatu perkara yang kita ingin usahakan akan menjadi sia-sia dan tidak berguna . Hancur . 

Baiklah , pada entri kali ini saya ingin berkongsi serba-sedikit "usaha-usaha" yang boleh kita lakukan untuk men"Transformasi Diri" . 

1 . Sayangi ALLAH dan Rasulullah 
     
     Allah S.W.T merupakan pencipta seluruh alam . Dia lah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya . Kita telah dijadikan olehNya dan diberikan pelbagai jenis nikmat-nikmat yang tidak terhitung banyaknya . Wajib bagi kita sebagai HambaNya yang hina dina patuh akan perintah-perintahNya dalam erti lain "Menyayangi" ALLAH . Mudah sahaja , lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah . Begitu juga dengan kekasihNya , Nabi Muhammad S.A.W . Baginda telah banyak berkorban demi Islam , hadapi pelbagai onak dan rintangan . Baginda tidak pernah mengalah dan terus menerus berjuang untuk menaikkan syiar Islam . Maka , Sayangi ALLAH dan Rasulullah merupakan langkah awal ataupun "first step" untuk BERUBAH . Kita juga DIWAJIBKAN beriman dengan sepenuh hati kepada ALLAH dan Rasulullah . 

Rasulullah s.a.w bersabda: " Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara-perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi-nabi yang terdahulu daripadaku….; dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedang aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya." Dan pada satu riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah ( Baginda s.a.w bersabda ): "…..sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk."
 

Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang itu tidak menjadi mukmin sehingga ia beriman sekurang-kurangnya empat perkara, iaitu: Mengetahui dan meyakini bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa aku ialah Rasulullah yang mengutuskan aku membawa kebenaran, dan percayakan mati yang memang ditetapkan masa dan caranya bagi tiap-tiap seorang, dan percayakan kebangkitan hidup semula sesudah mati, serta percayakan kadar takdir yang ditentukan oleh Allah."
 

2 . Solat 5 waktu sehari 
     
     Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.”

     Seperti yang telah diketahui umum , solat merupakan tiang agama . Jika kita tidak menunaikan solat , maka runtuhlah tiang agama . Solat juga merupakan amalan pertama yang dihisab oleh ALLAH S.W.T di Padang Mahsyar kelak . Kerana apa ? Kerana pentingnya solat ini dalam kehidupan harian kita . Solatlah pemangkin kehidupan kita , penyeri hidup kita dan dengan solatlah kita dapat berhubung , mengadu , merintih kepada ALLAH S.W.T . Berubahlah dengan perbaiki mutu solat kita , dan InsyaALLAH kita boleh menjadi Insan yang baik dari aspek rohaniah ataupun tidak . 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
 

3 . Banyakkan Amal Jariah 

Nabi s.a.w bersabda: "Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah."


     Rasanya sudah tidak perlu diperincikan lagi apakah yang dimaksudkan dengan amal jariah dan rasanya semua orang sudah maklum akan amal jariah . Cuma disini saya ingin menekankan , lakukanlah amal jariah semampu mungkin kerana perbuatan ini amat banyak faedahnya . 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”

Dari Amru bin Auf RA katanya Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya)."

Daripada Abu Zar RA daripada Nabi SAW telah bersabda, “Dituntut ke atas setiap sendi kamu itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah,setiap takdir itu sedekah, menyeru kepada kebaikan itu sedekah, melarang daripada kemungkaran itu sedekah dan memadailah bagi setiap amalan yang disebut itu dua rakaat sembahyang Dhuha.”
 

4 . Meluangkan masa menghadiri majlis-majlis ilmu 

      Semasa baginda masih hidup , baginda gemar akan majlis ilmu dan amat menggalakkan para sahabat menghadirinya . Majlis ilmu amat penting bagi mendidik sahsiah diri , mendisiplin dan mengubah gaya hidup kerana dengan menghadiri majlis ilmu kita akan ditarbiyah . Di sini bukan saya ingin berkata bahawa hanya dengan menghadiri majlis ilmu kita akan dapat mentarbiyah diri kita . Tidak . Tetapi majlis ilmu adalah salah satu medium yang terbaik untuk kita . Banyak manfaat ynag boleh kita peroleh daripada majlis-majlis ilmu seperti mendapat ilmu baharu , merapatkan silaturrahim , memeriahkan majlis-majlis agama dan dapat mentarbiyah diri serta mungkin mentarbiyah orang lain . Hebat bukan ? InsyaALLAH , cara yang keempat ini juga adalah cara yang relevan untuk kita terus menuju ke arahNya . 

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.

5 . Kurangkan melakukan maksiat 

     Kurangkan . Dalam erti kata lain meminimumkan perlakuan maksiat dalam kehidupan seharian kita . Mustahil rasanya jika kita dapat terus mengelakkan diri untuk langsung tidak melakukan maksiat kerana kita hanyalah manusia biasa sahaja . Ya , benar sebagai seorang insan yang lahir dalam era globalisasi yang kian meruncing , kita banyak dipengaruhi dan terpengaruh oleh banyak perkara-perkara maksiat terutamanya yang terdapat di media-media massa . Akan tetapi , itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita terus melakukan maksiat kerana kita punya cara untuk mengatasinya . Bagaimana ? ikutilah dan amalkan "step-step" yang telah ditunjukka  di atas . InsyaALLAH , dengan izinNya , mudah untuk kita meninggalkan perkara maksiat yang memudaratkan dan menjijikkan . Jika masih susah , banykkan berzikir dan istighfar kerana ia adalah tembok penghalang daripada kita melakukan kemaksiatan . 

Baiklah , di sini saya ingin menyimpulkan bahawa jika kita betul-betul ingin berubah , teruskan ! Berusaha sehabis mungkin ! Abaikan hasutan-hasutan dengki yang ingin menghalang ! Teruskan bergerak ! 

Jangan takut untuk berubah , 
Jangan malu untuk berubah , 
Jangan malas untuk berubah , 

Ingat ! ALLAH bersama anda . Jika hati anda terdetik untuk berubah , ini bermakna ALLAH telah berikan hidayah untuk anda ALLAH sangat sayang akan anda . SubhanALLAH ! 

Mari ! Gencarkan usaha sehabis mungkin !
Mari Transformasi Diri ! 





No comments:

Post a Comment