Saturday 4 August 2012

Saat didatangi oleh Ujian Allah



Ujian . Ujian sinonim dengan kepayahan , kesusahan dan keperitan yang ALLAH berikan kepada hambaNya untuk menguji tahap ketaqwaan dan keimanan Hamba-hambaNya . Ujian yang ALLAH berikan pelbagai , seperti masalah keluarga , kesempitan wang , kematian dan sebagainya . Ujian yang Allah berikan berbeza mengikut tahap seseorang itu . Ujian juga datang daripada pelbagai bentuk tanpa mengira masa . Tiada manusia di dunia ini yang terlepas daripada ujian Allah . Setiap seorang daripada kita merasainya . Merasai diri diuji oleh Allah . Saya berani bersumpah , tiada seorang di dunia tidak tidak pernah walau sekali diuji oleh Allah S.W.T . Sedangkan kekasihNya , Nabi Muhammad SAW juga diuji dengan pelbagai ujian yang sukar , perit serta sakit .

Meneliti kembali sejarah baginda sudah membuktikan berapa banyak ujian yang Allah SWT berikan kepada Nabi Muhammad ? Daripada awal usaha dakwahnya , sehingga baginda diterima oleh masyarakat Jahiliyah ketika itu , tidak henti-henti masalah yang datang menguji . Begitu juga dengan para sahabat serta pejuang-pejuang agama . Mereka diuji dengan teruk , sehingga kita yang melihat terdetik di hati "mengapa mereka sanggup ya?" . Mengapa mereka sanggup padahal mereka boleh lari ? Mengapa mereka sanggup padahal mereka boleh menggunakan alternatif lain yang lebih selamat ?  Kerana mereka percaya , ma'rifah yang disediakan oleh Allah dihujung perjuangan itu . 

Akan tetapi , ramai di antara kita yang gagal dalam menempuhi ujian yang ALLAH S.W.T berikan . Ramai yang mudah berputus harap , kecewa serta hilang arah apabila diuji .Setiap ujian yang mendatang , mereka rasakan seperti dirinya sudah tiada harapan . Seolah-olah menunggu masa untuk dibaham harimau . Jika selamat , kaki tangan sudah diratah .Mereka menyangka bahawa harapan telah hilang dan masa depan telah lebur . Tiada yang tinggal untuk mereka kecuali penyesalan .  Mereka juga merasakan bahawa ALLAH S.W.T tidak adil , kejam dan tidak berhati perut kerana memberikan pelbagai jenis masalah kita kita .Ada juga segelintir yang sudah berputus harap ini , meminta bantuan selain dariNya seperti bertemu dukun atau sebagainya . Ada juga yang mengambil keputusan mudah yang akan membuatkan mereka sengsara selamanya tanpa mendapat walau secubit kasih Ilahi yakni dengan membunuh diri . Statistik telah menunjukkan , bilangan manusia yang membunuh diri semakin meningkat hari demi hari . Dan segalanya dikaitkan dengan masalah . Tetapi mengapa jalan itu yang diambil ? 

Nauzubillah ! Semoga kita semua dijauhkan daripada sifat ini . Amin . 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.


Mereka juga seringkali mengatakan bahawa mereka sudah tiada harapan sedangkan apa yang mereka lalui adalah jalan pintas untuk ke Syurga !Mereka juga kebanyakan menyangka bahawa Allah SWT seolah-olah telah "meninggalkan" mereka dan memang tiada lagi walau sekecil ruang untuk mereka . Tanggapan tersebut mempengaruhi fikiran mereka sekaligus menjadikan mereka orang-orang yang rugi . Ini kerana ujian yang telah diberi bukan lah bermaksud Allah ingin meyiksa ataupun menzalimi kamu . Tidak . Bahkan Allah ingin memberikan kamu kenikmatan serta kemanisan dihujungnya . Memang terbukti ujian tersebut getir , tetapi hikmah yang menanti pasti tidak terduga dek akal . 

Saya juga tidak terlepas daripada ujian ini . Allah telah memberikan satu ujian yang sukar untuk saya hadapi . Saya sudah hampir berputus asa . Sudah tidak dapat melakukan apa-apa . Saya seperti dicampak ke lautan dusta dan berenang menuju pulau siksa . Segalanya gelap , seolah cahaya telah dihijab dan harapan telah lari serta ditinggal oleh impian yang menggunung . Ketika itu , saya rasa memang saya sudah tiada harapan . Ujian tersebut sangat getir dan perit . Jika digarap kesemuanya , kesakitannya ibarat dibunuh . 

Akan tetapi , saya tidak berhenti di situ sahaja . Tidak . Saya bangkit walau kedua belah kaki seolah dicabut . Saya mencari kembali semangat yang hilang serta angan-angan yang sembunyi . Bangkit dan tegak berdiri ! Langkah saya diorak dengan berhati hati , tutur kata sudah dirangka dengan kemas dan akal sudah diasah setajam keris Hang Tuah . Saya memulakan perjuangan baru . 

Kerna apa saya bangkit ? 

Kerna jika saya berhenti dan mengalah , jadi apa gunanya hidup saya ?

Apa gunanya angan-angan saya yang telah dipasang ?

Apa gunanya harapan menggunung kedua ibu bapa saya ?

Apa natijahnya ?

Apakah Allah akan meletakkan saya kedalam SyurgaNya ?

Apakah Allah akan Redha ?

Apakah Rasulullah akan mengaku bahawa saya ini umatnya ?  

Apakah nasib umat akan terbela ? 

Tiada . Disitu lah saya mengumpul tenaga dan bangkit . Bukan mengalah dan meratapi nasib saya seperti orang kalah judi . Bukannya terus mengambil jalan mudah dengan membunuh diri . Bukannya dengan meminta bantuan selain Ilahi . Bukannya menguburkan segala impian yang dihajati . 

Bukan .

Itu mereka yang rugi . Mereka yang tidak dapat merangka formasi untuk meloloskan diri daripada segalanya yang menghampiri , mengganggu laluan untuk berjaya . 

Maka dimana nilai hidupnya seseorang manusia itu ? 

Ujian itu bukan sahaja perlu ditangkis , bahkan kita patut mengambil iktibar daripada ujian tersebut . Memikir kembali salah silap kita , dosa-dosa kita serta keangkuhan kita kepada pencipta . Ujian itu lah ruang untuk kita menginsafi diri , mengubah cara hidup serta lebih mentaati Ilahi . Maka sebab itu saya menyatakan bahawa ujian yang Allah beri itu bukan perkara yang "kosong" malah banyak hikmah yang tersurat lagikan tersirat . Nikmat-nikmat yang menunggu kita juga tidak dapat diduga . Akan tetapi , bukan mudah untuk memilikinya . Maka ujian itu Allah sediakan , untuk menilai manakah HambaNya yang layak menerima "habuan" tersebut . Oleh itu , pasrah dan redha adalah jalan terbaik . 

Daripada Anas RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW, “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”


Melatih diri untuk sabar dan cekal

Wahai teman , jika kita dilanda masalah yang berat , ingatlah bahawa ada hambaNya yang lain diuji lebih teruk daripada kita . Jika kita diuji dengan kemiskinan , ingatlah bahawa ada hambaNya yang tidak dapat menjamah walaupun sesuap nasi . Andai kita diuji dengan penyakit , ingatlah bahawa ramai lagi hambaNya yang diuji dengan penyakit yang jauh lagi merbahaya dan berisiko . Jika kita diuji dengan kematian , kalian rasa berapa ramai sahabat kita di Syria , Palestin dan lain-lain kehilangan keluarga ? 

Mengapa kita asyik mengeluh ? 

Sekali sekala , kita juga harus berhenti sejenak dan berfikir . "Allah berikan aku ujian . Allah juga berikan ujian kepada orang lain . Mengapa mereka boleh atasinya tetapi aku tidak ?" . Seperti yang saya katakan tadi , semua orang di dunia ini telah Allah uji . Tiada seorang pun terlepas . Maka , menapa kita terlalu banyak songeh ? Merungut sana sini seolah-olah hanya kita yang diuji ? 

Benar . Ujian memang menyakitkan . Ujian memang memenatkan dan menyiksakan . Ujian itu juga Allah berikan adalah untuk kita "membersihkan" kembali dosa-dosa kita . Merenung kembali kejahilan serta ketakburan kita yang melampau . Saya berani berkata bahawa seseorang itu penipu jika mereka mengatakan ahawa diri mereka "suci" daripada dosa . Mereka tidak melakukan kesalahan apa-apa . Bagaimana itu boleh berlaku ? Sedangkan hanya dengan merungut sahaja kita sudah mendapat dosa .

Teman , bersabarlah . Kerana janji ALLAH itu pasti ! Dia akan menganugerahkan kalian SyurgaNya yang abadi ! 

Maka , apa lagi yang perlu dinyesali ? 

Daripada Anas RA katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman, “Apabila aku menguji seorang hamba-Ku dengan mengambil dua benda yang amat dikasihinya sedangkan dia menerima dengan sabar dan ikhlas, nescaya aku akan memberi ganjaran syurga di akhirat kelak.“ Yang Rasulullah  maksudkan dengan dua benda yang amat dikasihi itu ialah dua matanya.

Daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah berfirman dalam hadis  Qudsi yang bermaksud, “tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya di dunia, kemudian dia mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan (orang itu akan mendapat balasan) syurga.”

Berdoa memohon pertolonganNya

Doa merupakan benteng mukmin . Dan mukmin yang sebenar akan berdoa kepada ALLAH apabila dirinya ditimpa masalah . Mereka tidak menyalahkan takdir dan terus memaki hamun Tuhan , tetapi tetap terus tersenyum dan pasrah menerima ketentuannya . Mereka tetap percaya , hikmah yang besar dan tidak diketahui tersembunyi untuk mereka pada masa akan datang . Dan mereka pasti akannya ! 

Doa juga ibarat senjata . Senjata yang tidak perlu dihunus untuk membunuh , atau diasah untuk memancung . Hanya perlu menadah tangan , memohon serta merintih . Itu sudah cukup . Doa juga menjadi cara untuk kita melenyapkan kegusaran yang terpekung dalam hati , kesusahan yang membebani diri dan keadaan suasana yang menyiksakan . Doa adalah penghubung diri kita terus kepada Allah . 

Berdoa lah . Merintih . Memohon . Luahkan segalanya kepada Allah . Hanya Allah yang tidak akan jemu mendengar rintihan kita . Hanya Allah yang suka dirinya dirintah serta diingati . Itu kerana hanya Allah yang layak mempunyai nama sehebat Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi . 

Kita juga perlu akur akan kehendakNya . Tawakkal atas ujianNya setelah kita berusaha sehabis daya untuk menanganinya .

Bagi mereka yang berjaya mencapai tahap sebegini , merekalah Mukmin Sebenar ! 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud, Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.



Akhir kalam , saya berharap agar kita semua hamba-hambaNya yang hina dina ini janganlah mudah mengibarkan bendera putih apabila diuji oleh ujian yang bertali arus oleh ALLAH . Tetapi terus bangkit untuk meraih  RedhaNya , SyurgaNya dan CintaNya !


No comments:

Post a Comment